Ini satu tulisan yang panjang. Ia mengenai kerenah pelihanraya kecil Bagan Pinang N31 (PRK N31). Merupakan satu laporan yang terperinci terhadap tindak-tanduk parti2 yang bersaing di situ. Ia panjang, tetapi merupakan rekod atau catatan bertulis yang emperisis, yakni realiti yang berlaku di lapangan, untuk semakan dan rujukan sesiapa yang berminat.
Pengenalan
Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang (N 31)11 Oktober 2009 menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional(BN), Tan Sri Isa Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar, manakala calon bebas Sharuddin Abdul Hamid gagal dalam percubaannya untuk menjadi calon..
Pada 3 Oktiber 2009, 7,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR) hadir pada hari penamaan calon bagi memberikan sokongan mereka kepada calon dari parti PAS-PR. Manakala penyokong BN dianggarkan berjumlah 3,000 orang hadir untuk menyokong Tan Sri Isa Samad.
Suasana kecoh menyelubungi Dewan Perbandaran Port Dickson takkala proses penamaan calon selesai. Kedua-dua belah penyokong parti saling ejek mengejek antara satu sama lain. Keadaan sedikit tegang apabila beberapa penyokong dari BN dilihat berjalan kaki melalui kawasan yang dikhaskan oleh SPR dan polis untuk penyokong PAS-PR.
Penyokong PAS-PR dilihat menjerit ke arah penyokong BN sambil berkata ‘rasuah,rasuah’ serta turut cuba memberi wang satu ringgit tanda memprotes amalan itu. Respons para pemimpin dan penyokong UMNO-BN hanya senyum simpul dan ketawa sahaja.
Pada hari pencalonan itu, ada satu insiden ganas ke atas kepimpinan sayap Putera UMNO merangkap Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut, Datuk Abdul Azeez Bin Abdul Rahim yang didakwa dilakukan oleh penyokong PAS-PR. Laporan polis telah dibuat, namun tidak ada perkembangan siasatan diberitakan.
Begitu juga PAS-PR mendakwa pada jam 2.30 pagi pada 8 Oktober 2009, markas induk Dewan Pemuda Pas pusat telah diserang oleh penyokong UMNO-BN. Serangan tersebut dikatakan telah menyebabkan empat orang Pemuda PAS-PR tercedera. Laporan polis telah pun dibuat. Sehingga kini tiada berita perkembangan tentang siasatan mengenainya.
Undi Pos
Undi pos merupakan kontraversi semenjak pencalaonan calon di DUN N31 ini.
Ada beberapa perkara yang menimbulkan syak wasangka dan kecurigaan terhadap wibawa undi pos. Antaranya:
1.Dua undi dikeluarkan di atas satu nama, yakni didaftar dalam dua kawasan, satu di kem tentera Bagan Pinang menggunakan kad perkhidmatan tentera; dan satu lagi di kawasan awam dengan menggunakan kad pengenalan awam (mykad). Jadi secara praktikalnya, pengundi pos itu boleh mengundi dua kali.
2.Ada dakwaan bahawa terdapat 250 nama pengundi yang mempunyai dua kad pengenalan – satu kad pengenalan tentera dan satu kad pengenalan awam.
3.Ahli tentera yang tidak mengundi diproksikan pada pegawai.
4.Pengundi yang tidak mengundi, kertas undinya dipangkah oleh orang lain.
5.Ramai pesara disenaraikan sebagai pengundi pos.
6.Ramai pengundi pos tentera berdaftar lebih dari satu kem (dakwaan sehingga 3 kem). Ini kerana apabila mereka berpindah nama mereka tidak dipotong dari kem lama, tetapi didaftar pula dalam kem baru.
7.Ada pegawai tentera yang ditugaskan memangkah kertas undi bagi pihak pengundi pos tentera.
8.Senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan pada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.
9.Agen parti-parti bertanding yang memantau pengundian pos tiada hak bersuara apatah lagi membuat sebarang protes jika ada kepincangan pengendalian undi pos.
10. Nama pengundi dan nombor kad pengenalan mereka tidak disebut/dilaungkan, sebagaimana lazim dilakukan, supaya agen parti dapat menyemak nama dan nombor pengenalan pengundi.
Syak wasangka dan kecurigaan yang disenarai di atas amatlah serius. Namun pihak SPR langsung tidak memperdulikan dakwaan dan syak wasangka tersebut. Jelas sekali senarai nama pengundi dan proses pengendalian undi pos tidak telus dan tidak berwibawa.
Politik Wang
Politik wang berleluasa berlaku dalam kempen PRK DUN N31. Di bawah ini disenaraikan peristiwa-peristiwa sedemikian:
1.Pemberian cek Takaful Ikhlas pada para pengundi di Dewan Serbaguna Bagan Pinang oleh Isa Samad.
2.Pemberian hamper dan sampul wang pada para pengundi dan kanak-kanak kaum India di markas BN, Taman Raja Zainal.
3.Pengagihan RM300 di Pusat Latihan Tentera Darat (PUSADAR) kepada anggota tentera yang hadir pada upacara perasmian Port Dickson Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri.
4.Ismail Sabri, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Isa Samad menyampaikan Zakat Perdana Negeri Sembilan di Balai Raya Teluk Kemang.
5.Pemberian buku di Karnival Membaca Malaysia perasmian Rais Yatim di Taman Intan Perdana.
6.Akhbar arus perdana Utusan Melayu dan Berita Harian diberikan secara percuma kepada orang awam. Turut berada di dalam surat khabar tersebut sisipan surat khabar kecil bertajuk ‘Suara Bagan Pinang’. Sisipan ini hanya boleh didapati di dalam surat khabar Utusan Melayu dan Berita Harian.
Selain pemberian benda dan wang, jamuan makan minum percuma pada kadar yang besar juga dilakukan. Boleh dikata di semua upacara kempen yang dirasmikan oleh para pemimpin politik diikuti dengan jamuan makan dan minum: Antara lainnya:
1.Karnival Membaca Malaysia di Taman Intan Perdana yang dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim.
2.Majlis Mesra Bersama Kooperator di Hotel Mesra, Teluk Kemang yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri.
3.Hari Ladang Jabatan Pertanian di Kg Bagan Pinang yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Noh Omar.
4.Upacara pemberian cek Takaful Ikhlae di Dewan Serbaguna Bagan Pinang oleh calon BN, Tan Sri Isa Samad.
5.Majlis Bersama Rakyat yang dihadiri oleh Timbalan Menteri JPM, T. Murugiah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri JPM, Tan Sri Koh Tsu Koon di Bandar Sunggala.
6.Program Jalinan Wanita Niaga bersama Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Jalan Pantai.
7.Jamuan makan bersama calon BN, Tan Sri Isa Samad di Rumah Komuniti Kg Teluk Kemang
Selain daripada projek-projek kilat, janji peruntukan untuk melaksanakan projek besar juga dibuat jika calon UMNO-BN menang, antara lainnya:
1.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan menjanjikan peruntukan RM100,000 untuk projek menaik taraf surau Institut Kejuretaraan Tentera Darat.
2.Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan projek-projek pembinaan kolam renang, gelanggang futsal dan WIFI di Institut Kejuretaraan Tentera Darat.
3.Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan projek RM18 juta bagi pembinaan sebuah sekolah rendah kebangsaan di Taman Intan Perdana.
4.Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan projek RM20 juta pembinaan sebuah sekolah menengah di Taman Intan Perdana.
Sayugia diingatkan bahawa parti-parti politik yang bertanding seharusnya tidak boleh berkempen di dalam Kem Tentera. Namun larangan ini jelas dilanggar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan apabila mereka berkempen di dalam kem tentera dan terang-terangan membuat janji-janji kepada tentera agar memastikan calon UMNO-BN menang.
Penyalahgunaan Jentera Negara
Penyalahgunaan Jentera Negara berluasa dalam kempen PRK DUN N31.
Kelihatan banyak harta benda negara digunakan untuk tujuan kempen parti-parti yang bertanding ditemui oleh pemantau NIEI:
1.Di Taman Bandar Sunggala bas, jip, van, lori trailer dan pentas bergerak dari Jabatan Penerangan Malaysia kelihatan digunakan pada keramaian dan persembahan muzik di malam jamuan hari raya. Jamuan itu terus terang berkempen untuk calon UMNO-BN, Isa Samad.
Contohnya, dalam ucapannya, Datuk T. Murugiah berkata rakyat Bagan Pinang harus mengundi Tan Sri Isa Samad kerana beliau sudah 22 tahun menerajui Negeri Sembilan dan mampu mengubah nasib rakyat di Bagan Pinang. Jesteru itu, rakyat tidak perlu khuatir dengan masa depan mereka, tambah Murugiah. Dalam program tersebut, pengerusi majlis juga sentiasa meningatkan para hadirin untuk memangkah calon BN.
2.Di satu Majlis Ekspo Kenali Kelantan yang berlangsung di Kampung Bagan Pinang, didapati beberapa kenderaan milik kerajaan negeri Kelantan telah di salah guna bagi tujuan berkempen. Ini termasuk kenderaan milik Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan kenderaan Badan Pelancongan Kelantan.
3.Kenderaan-kenderaan dari Jabatan Penerangan dan Suruhajaya Koperasi Malaysia didapati digunakan oleh UMNO-BN di Majlis Mesra Bersama Koperator.
4.Bas Perpustakaan Bergerak dan Trak Bomba digunakan oleh UMNO-BN pada Karnival Membaca Malaysia.
5.Kenderaan-kenderaan Jabatan Pertanian digunakan oleh UMNO-BN untuk upacara Hari Ladang.
6.Bas Klinik Bergerak Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat digunakan oleh UMNO-BN di Program Jalinan Wanita Niaga.
Salahguna Kemudahan Awam
Selain salahguna jentera negara, didaptai juga berlaku salahguna kemudahan awam. Pemantau NIEI mendapati:
1.Dewan orang ramai di Bagan Pinang telah diambil alih oleh UMNO-BN digunakan untuk pusat berkempen.
2.Pejabat JKKK Kg Bagan Pinang juga diambil alih oleh UMNO-BN untuk kerja-kerja berkempen.
3.Medan Selera Majlis Perbandaran Port Dickson dijadikan tempat pekerja Kelab Penyokong BN berkumpul dan dipasang bendera-bendera UMNO-BN.
4.Sekolah Rendah Islam Tun Dato' Hj. Abd Samad dijadikan bilik UMNO-BN.
5.Bangunan KEMAS juga diambil alih untuk tujuan kempen UMNO-BN.
6.Balairaya Teluk Kemang digunakan untuk tujuan berkempen UMNO-BN.
7.Bilik Perpustakaan Tmn Intan Perdana untuk kempen UMNO-BN.
8.Di Sawah Sunggala bangunan balairaya dan kompleks rukun tetangga dijadikan markas UMNO-BN untuk berkempen.
Projek Kilat
Turut kelihatan semasa pemantauan NIEI ialah beberapa projek kilat yang sedang dilaksanakankan. Projek ini istimewa dilakukan pada kempen tempoh pilihanraya yang boleh dilihat sebagai tujuan untuk memancing undi. Projek-projek ini rancak dikerjakan di beberapa kawasan sekitar Bagan Pinang. Antara yang ditemui oleh pemantau NIEI:
1.Projek membuat parit monsson di Kg Bagan Pinang.
2.Projek membersihkan parit yang sedia ada di Kg Bagan Pinang.
3.Projek penurapan jalan kampung di Kg Bagan Pinang.
4.Projek penurapan jalan kampung di Taman Bandar Sunggala.
5.Projek pembaikan jalan Lorong Batu 7, Kg Teluk Kemang.
6.Projek membaiki paip air di Taman Raja Zainal.
7.Projek membina arca di bulatan Teluk Kemang.
8.Dua projek membuat laman letak kereta di Jalan Pantai Port Dickson.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Seperti pilihanraya kecil sebelum ini, kehadiran sejumlah besar anggota PDRM menimbulkan banyak tanda tanya tentang peranan mereka..
Anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas serta memastikan jalan raya tidak terganggu sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Anggota polis trafik ditempatkan di setiap lampu isyarat dan simpang jalan bagi mengawal lalu lintas dari kesesakan terutamanya apabila hari penamaan calon serta pada hari mengundi.
Pada hari penamaan calon sebagai contohnya, polis trafik telah berjaya mengawal lalu lintas dengan baik. Sehingga hari mengundi, masih terdapat anggota trafik yang di tempatkan di setiap lampu isyarat dan simpang jalan. Selain itu, anggota trafik turut berada di jalan raya setiap kali adanya rapat umum dari kedua-dua belah parti yang bertanding bagi memastikan jalan raya tidak terganggu.
Selain anggota trafik, pihak polis dari cawangan pencegah rusuhan (FRU) dan risikan turut berada di sekitar DUN Bagan Pinang. Sewaktu hari penamaan calon tempoh hari sejumlah anggota FRU dan risikan dilihat mengawal keadaan penyokong dari kedua-dua belah parti.
Sekatan jalanraya pun amat berkurangan dalam tempuh kempen PRK DUN N31 ini. Hanya terdapat sekali sekala satu sekatan jalan raya di jalan masuk ke Port Dickson dari Seremban. Langsung tidak diketemui sekatan jalan raya di sepanjang tempuh kempen dalam zon DUN Bagan Pinang.
Ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan 8 PRK sebelum ini, terutamanya di Permatang Pauh dan Bukit Gantang, di mana terdapat banyak sekatan jalanraya di sepanjang masa tempuh kempen dan hari mengundi.
Sekatan-sekatan jalanraya itu terbukti menggangu pergerakan lalulintas dan sentiasa mengakibatkan kesesakan jalan. Manakala di Bagan Pinang, tanpa sekatan jalanraya, terbukti kesesakan lalulintas dapat dielakkan.
Kempen Publisiti Outdoor
Sepanjang tempoh berkempen, sepanjang jalan raya dipenuhi dengan alat kempen dari kedua-dua belah parti bertanding. Bendera, poster, banner, dan billboard telah memenuhi setiap ruang di pekan Port Dickson. Setiap alat kempen dilihat bertambah dari hari ke sehari dan menjelang hari mengundi jumlah alat berkempen boleh bertambah lebih banyak.
Alat kempen dari UMNO-BN lebih banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan Parti PAS-PR. Ini boleh dilihat di sepanjang jalan raya Teluk Kemang dimana bendera, poster dan billboard dari UMNO-BN memenuhi jalan raya. Di dalam kampung Bagan Pinang juga kelihatan poster dan billboard dari UMNO-BN.
Hanya 5 buah billboard dari parti PAS-PR didirikan sepanjang tempoh berkempen. Tidak seperti parti UMNO-BN, parti PAS-PR hanya menggantung bendera dan poster calon di sepanjang jalan raya dan di dalam kampung Bagan Pinang. Tetapi amat berkurangan dari UMNO-BN - dianggarkan 10% PAS-PR dan 90% UMNO-BN.
Billboard dari BN berjumlah 150 buah billboard yang didirikan di sepanjang jalan raya dan di dalam kampung Bagan Pinang. Poster Perdana Menteri, Menteri Besar dan Calon turut didirikan sepanjang tempoh berkempen. Jumlahnya tidak kurang seribu. Ini tidak termasuk banting-anting yang digantung di tiang-tiang elektrik.
Pastinya UMNO-BN mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit untuk membiayai kos kempen publisiti outdoor ini.
Sebelum itu beberapa billboard dari parti UMNO-BN telah diturunkan oleh pegawai dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) kerana mengandungi unsur provokatif. Turut diturunkan oleh pegawai SPR adalah bendera-bendera dari parti PR – PKR dan DAP.
Hari Mengundi (11 Oktober 2009)
Hujan renyai-renyai yang turun awal pagi ini tidak menghalang para pengundi di Bagan Pinang untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Sehingga jam 2.00 petang peratus pengundi 45 %, dianggarkan ramai yang tidak keluar mengundi. Keadaan di pusat-pusat pengundian walaupun terkawal, namun kehadiran kedua-dua puak tukang sorak parti yang bertanding menegangkan keadaan..
Contohnya, pihak polis yang ditugaskan di Sekolah Si Rusa untuk mengawal keadaan kadang-kala terpaksa bertindak untuk menyuraikan sesetengah penyokong dari bertindak di luar batasan. Ini terjadi kerana lokasi penyokong UMNO-BN dan lokasi penyokong PAS-PR diletakkan di tempat yang berhadapan antara satu sama lain. Begitu juga di Sekolah Panglima Adnan.
Di Sekolah Panglima Adnan, pemantau NIEI terserempak dengan konvoi motosikal pemuda MIC-BN yang berpakaian seragam dan membawa bendera-bendera. Ini nyata melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak polis.
Rata-rata di pusat mengundi pemantau NIEI bertemu dengan kenderaan-kenderaan mengangkut pengundi. Ini merupakan bentuk kempen merayu undi yang tidak sepatutnya berlaku pada hari mengundi.
Dalam satu insiden di Teluk Kemang pula berlaku insiden yang pada mulanya hanya insiden ejek-mengejek bertukar ganas apabila penyokong dari kedua-dua belah parti bergaduh antara satu sama lain. Menurut laporan media, pihak polis sudah menahan dua orang yang disyaki mencetuskan huru-hara. Keadaan tegang itu berjaya dikawal dengan bantuan orang ramai dan pihak polis.
Cadangan NIEI bagi memperbaiki perjalanan pilihanraya akan datang
Beberapa cadangan dari NIEI berikut ini boleh dapat menambah nilai wibawa sistem dan proses pengundian di Malaysia:
1.Kaedah dan prosedur undi pos hendak dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan dapat dipertanggungjawabkan.
Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, negera Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, undi secara normal digunakan untuk anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR - serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa – dibuka di dalam kem-kem tentera.
Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.
2.Politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan kemudahan awam hendaklah dihapuskan. Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.
3.Perbelanjaan calon dan parti bertanding hendaklah dipantau dan diperiksa oleh SPR dengan ketat. Dapat diandaikan bahawa perbelanjaan calon dan parti yang bertanding melampau had yang ditetapkan oleh SPR. Ini terutamanya perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Isa Samad dan parti UMNO-BN.
4.Seperti di negara-negara lain, hari pembuangan undi adalah hari yang aman damai dan tenteram bagi para pengundi membuat keputusan dan memangkah calon yang mereka pilih. Seharusnya perayu undi, kumpulan sorak parti dan kenderaan pengangkutan parti diharamkan pada hari membuang undi.
Jika kumpulan sorak tidak dapat dapat diharamkan pada kadar segera, keadaan tegang dapat dielakkan dari awal lagi jika penyokong kedua-dua belah parti tidak diletakkan secara berhadapan, sebaliknya diletakkan jauh antara satu sama lain. Contohnya satu puak 50 – 100 meter dari sebelah kanan masuk pusat mengundi dan satu puak lagi 50 -100 dari pintu masuk sebelah kiri.. Dengan cara ini penyokong parti tidak akan bersua muka lantas boleh mengelakkan dari tercetusnya keadaan yang tidak diingini.
Jika pengangkutan diperlukan oleh pengundi, ini wajib diberi khidmat oleh SPR, seperti khidmat kerusi roda SPR sekarang ini.
5.Sekatan jalanraya ketika tempuh berkempen mesti dihapuskan. Peranan polis trafik amatlah berfaedah dan mesti digalak dan diteruskan. Polis Pencegah Rusuhan bolehlah berada dalam keadaan berjaga-jaga.
6.Dakwat kekal (Indilible Ink). Jika dakwat digunapakai, tidak akan timbul syak wasangka seperti anggota tentera menggundi dua kali sebagai pengundi pos dan pengundi awam. NIEI mendesak agar dakwat kekal digunapakai di dalam pilihanraya akan datang agar integriti pilihanraya tidak lagi dipersoalkan.
Friday, October 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment