Thursday, November 19, 2009
Dah Lama Kita Tak Berjumpa
Sakitnya tidaklah terkira, pedih membakar masuk ke dalam otot-otot mengelilingi sebelah badan. Makan panadol 2 biji 6 jam sekali. Kurang sikit sakit pedih bahang panansnya. Demam2 akibat darinya pun dapat di tahan2kan.
Selesai PRU N31, setelah siap laporan mengenainya dan kertas2 tulisan yang lainnya, sempat juga aku menghadiri sidang akhbar tentang SPR dan PRU N31.
Lepas itu aku mula demam dan batuk2. Tak sihat, aku pergi klinik kat rumah atau beli ubat2 batuk sahaja.
Sehingga satu hari terasa sangat semput pula apabila batuk2. Barulah aku ke hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya. Segera aku dapat diurus temu dengan doktor pakar.
Setelah dibuat ujikaji pemiriksaan, didapati paru2 dah dijangkiti kuman bakteria. Sel darah merah (SDM)pun didapati menjunam jatuh (7) di bawah normal (minima 13. Aku segera dimasukkan ke dalam wad.
Sepanjang malamnya tak dapat tidur aku. Transfusi darah dilakukan. 2 kampit semuanya. Dan naiklah ke paras 9.8, tidak normal tetapi terpaksa di tahap itu sahaja kerana bekalan darah terhad dan rationkan.
Kerana SDN kurang, oksigen dalam tubuh badan kurang dan yang maswuk ke otak pun kurang, jadi perjalanan pemikiran minda aku pun kuranglah. Ada sebab saintifik tak dapat (malas - tak daya) nak menulis. Tulis ala kadar aje le.
Selepas itu mengambil masa 9 hari untuk merawat paru2 dari bahana bakteria. Aku ni pun masih lagi meneruskan pil2 anti-biotik, walaupun telah keluar hospital kelmarin.
Malangnya, dalam x-ray paru2 kelihatan 'sesuatu' di dalamnya. Doktor pakar pun tak pasti/tahu apa bendanya itu. Jadi awal minggu depan kena kembali ke PPUM untuk buat imbasan kemudian skop pula ke dalam ruang paru2. Nak teropong apa benda 'sesuatu' itu!
Jadi minggu ini, pastinya bukan minggu yang aktif untuk aku memblog, sepertilah juga minggu2 sebelumnya.
Friday, October 16, 2009
Laporan PRK BN31
Pengenalan
Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang (N 31)11 Oktober 2009 menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional(BN), Tan Sri Isa Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar, manakala calon bebas Sharuddin Abdul Hamid gagal dalam percubaannya untuk menjadi calon..
Pada 3 Oktiber 2009, 7,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR) hadir pada hari penamaan calon bagi memberikan sokongan mereka kepada calon dari parti PAS-PR. Manakala penyokong BN dianggarkan berjumlah 3,000 orang hadir untuk menyokong Tan Sri Isa Samad.
Suasana kecoh menyelubungi Dewan Perbandaran Port Dickson takkala proses penamaan calon selesai. Kedua-dua belah penyokong parti saling ejek mengejek antara satu sama lain. Keadaan sedikit tegang apabila beberapa penyokong dari BN dilihat berjalan kaki melalui kawasan yang dikhaskan oleh SPR dan polis untuk penyokong PAS-PR.
Penyokong PAS-PR dilihat menjerit ke arah penyokong BN sambil berkata ‘rasuah,rasuah’ serta turut cuba memberi wang satu ringgit tanda memprotes amalan itu. Respons para pemimpin dan penyokong UMNO-BN hanya senyum simpul dan ketawa sahaja.
Pada hari pencalonan itu, ada satu insiden ganas ke atas kepimpinan sayap Putera UMNO merangkap Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut, Datuk Abdul Azeez Bin Abdul Rahim yang didakwa dilakukan oleh penyokong PAS-PR. Laporan polis telah dibuat, namun tidak ada perkembangan siasatan diberitakan.
Begitu juga PAS-PR mendakwa pada jam 2.30 pagi pada 8 Oktober 2009, markas induk Dewan Pemuda Pas pusat telah diserang oleh penyokong UMNO-BN. Serangan tersebut dikatakan telah menyebabkan empat orang Pemuda PAS-PR tercedera. Laporan polis telah pun dibuat. Sehingga kini tiada berita perkembangan tentang siasatan mengenainya.
Undi Pos
Undi pos merupakan kontraversi semenjak pencalaonan calon di DUN N31 ini.
Ada beberapa perkara yang menimbulkan syak wasangka dan kecurigaan terhadap wibawa undi pos. Antaranya:
1.Dua undi dikeluarkan di atas satu nama, yakni didaftar dalam dua kawasan, satu di kem tentera Bagan Pinang menggunakan kad perkhidmatan tentera; dan satu lagi di kawasan awam dengan menggunakan kad pengenalan awam (mykad). Jadi secara praktikalnya, pengundi pos itu boleh mengundi dua kali.
2.Ada dakwaan bahawa terdapat 250 nama pengundi yang mempunyai dua kad pengenalan – satu kad pengenalan tentera dan satu kad pengenalan awam.
3.Ahli tentera yang tidak mengundi diproksikan pada pegawai.
4.Pengundi yang tidak mengundi, kertas undinya dipangkah oleh orang lain.
5.Ramai pesara disenaraikan sebagai pengundi pos.
6.Ramai pengundi pos tentera berdaftar lebih dari satu kem (dakwaan sehingga 3 kem). Ini kerana apabila mereka berpindah nama mereka tidak dipotong dari kem lama, tetapi didaftar pula dalam kem baru.
7.Ada pegawai tentera yang ditugaskan memangkah kertas undi bagi pihak pengundi pos tentera.
8.Senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan pada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.
9.Agen parti-parti bertanding yang memantau pengundian pos tiada hak bersuara apatah lagi membuat sebarang protes jika ada kepincangan pengendalian undi pos.
10. Nama pengundi dan nombor kad pengenalan mereka tidak disebut/dilaungkan, sebagaimana lazim dilakukan, supaya agen parti dapat menyemak nama dan nombor pengenalan pengundi.
Syak wasangka dan kecurigaan yang disenarai di atas amatlah serius. Namun pihak SPR langsung tidak memperdulikan dakwaan dan syak wasangka tersebut. Jelas sekali senarai nama pengundi dan proses pengendalian undi pos tidak telus dan tidak berwibawa.
Politik Wang
Politik wang berleluasa berlaku dalam kempen PRK DUN N31. Di bawah ini disenaraikan peristiwa-peristiwa sedemikian:
1.Pemberian cek Takaful Ikhlas pada para pengundi di Dewan Serbaguna Bagan Pinang oleh Isa Samad.
2.Pemberian hamper dan sampul wang pada para pengundi dan kanak-kanak kaum India di markas BN, Taman Raja Zainal.
3.Pengagihan RM300 di Pusat Latihan Tentera Darat (PUSADAR) kepada anggota tentera yang hadir pada upacara perasmian Port Dickson Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri.
4.Ismail Sabri, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Isa Samad menyampaikan Zakat Perdana Negeri Sembilan di Balai Raya Teluk Kemang.
5.Pemberian buku di Karnival Membaca Malaysia perasmian Rais Yatim di Taman Intan Perdana.
6.Akhbar arus perdana Utusan Melayu dan Berita Harian diberikan secara percuma kepada orang awam. Turut berada di dalam surat khabar tersebut sisipan surat khabar kecil bertajuk ‘Suara Bagan Pinang’. Sisipan ini hanya boleh didapati di dalam surat khabar Utusan Melayu dan Berita Harian.
Selain pemberian benda dan wang, jamuan makan minum percuma pada kadar yang besar juga dilakukan. Boleh dikata di semua upacara kempen yang dirasmikan oleh para pemimpin politik diikuti dengan jamuan makan dan minum: Antara lainnya:
1.Karnival Membaca Malaysia di Taman Intan Perdana yang dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim.
2.Majlis Mesra Bersama Kooperator di Hotel Mesra, Teluk Kemang yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri.
3.Hari Ladang Jabatan Pertanian di Kg Bagan Pinang yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Noh Omar.
4.Upacara pemberian cek Takaful Ikhlae di Dewan Serbaguna Bagan Pinang oleh calon BN, Tan Sri Isa Samad.
5.Majlis Bersama Rakyat yang dihadiri oleh Timbalan Menteri JPM, T. Murugiah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri JPM, Tan Sri Koh Tsu Koon di Bandar Sunggala.
6.Program Jalinan Wanita Niaga bersama Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Jalan Pantai.
7.Jamuan makan bersama calon BN, Tan Sri Isa Samad di Rumah Komuniti Kg Teluk Kemang
Selain daripada projek-projek kilat, janji peruntukan untuk melaksanakan projek besar juga dibuat jika calon UMNO-BN menang, antara lainnya:
1.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan menjanjikan peruntukan RM100,000 untuk projek menaik taraf surau Institut Kejuretaraan Tentera Darat.
2.Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan projek-projek pembinaan kolam renang, gelanggang futsal dan WIFI di Institut Kejuretaraan Tentera Darat.
3.Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan projek RM18 juta bagi pembinaan sebuah sekolah rendah kebangsaan di Taman Intan Perdana.
4.Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan projek RM20 juta pembinaan sebuah sekolah menengah di Taman Intan Perdana.
Sayugia diingatkan bahawa parti-parti politik yang bertanding seharusnya tidak boleh berkempen di dalam Kem Tentera. Namun larangan ini jelas dilanggar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan apabila mereka berkempen di dalam kem tentera dan terang-terangan membuat janji-janji kepada tentera agar memastikan calon UMNO-BN menang.
Penyalahgunaan Jentera Negara
Penyalahgunaan Jentera Negara berluasa dalam kempen PRK DUN N31.
Kelihatan banyak harta benda negara digunakan untuk tujuan kempen parti-parti yang bertanding ditemui oleh pemantau NIEI:
1.Di Taman Bandar Sunggala bas, jip, van, lori trailer dan pentas bergerak dari Jabatan Penerangan Malaysia kelihatan digunakan pada keramaian dan persembahan muzik di malam jamuan hari raya. Jamuan itu terus terang berkempen untuk calon UMNO-BN, Isa Samad.
Contohnya, dalam ucapannya, Datuk T. Murugiah berkata rakyat Bagan Pinang harus mengundi Tan Sri Isa Samad kerana beliau sudah 22 tahun menerajui Negeri Sembilan dan mampu mengubah nasib rakyat di Bagan Pinang. Jesteru itu, rakyat tidak perlu khuatir dengan masa depan mereka, tambah Murugiah. Dalam program tersebut, pengerusi majlis juga sentiasa meningatkan para hadirin untuk memangkah calon BN.
2.Di satu Majlis Ekspo Kenali Kelantan yang berlangsung di Kampung Bagan Pinang, didapati beberapa kenderaan milik kerajaan negeri Kelantan telah di salah guna bagi tujuan berkempen. Ini termasuk kenderaan milik Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan kenderaan Badan Pelancongan Kelantan.
3.Kenderaan-kenderaan dari Jabatan Penerangan dan Suruhajaya Koperasi Malaysia didapati digunakan oleh UMNO-BN di Majlis Mesra Bersama Koperator.
4.Bas Perpustakaan Bergerak dan Trak Bomba digunakan oleh UMNO-BN pada Karnival Membaca Malaysia.
5.Kenderaan-kenderaan Jabatan Pertanian digunakan oleh UMNO-BN untuk upacara Hari Ladang.
6.Bas Klinik Bergerak Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat digunakan oleh UMNO-BN di Program Jalinan Wanita Niaga.
Salahguna Kemudahan Awam
Selain salahguna jentera negara, didaptai juga berlaku salahguna kemudahan awam. Pemantau NIEI mendapati:
1.Dewan orang ramai di Bagan Pinang telah diambil alih oleh UMNO-BN digunakan untuk pusat berkempen.
2.Pejabat JKKK Kg Bagan Pinang juga diambil alih oleh UMNO-BN untuk kerja-kerja berkempen.
3.Medan Selera Majlis Perbandaran Port Dickson dijadikan tempat pekerja Kelab Penyokong BN berkumpul dan dipasang bendera-bendera UMNO-BN.
4.Sekolah Rendah Islam Tun Dato' Hj. Abd Samad dijadikan bilik UMNO-BN.
5.Bangunan KEMAS juga diambil alih untuk tujuan kempen UMNO-BN.
6.Balairaya Teluk Kemang digunakan untuk tujuan berkempen UMNO-BN.
7.Bilik Perpustakaan Tmn Intan Perdana untuk kempen UMNO-BN.
8.Di Sawah Sunggala bangunan balairaya dan kompleks rukun tetangga dijadikan markas UMNO-BN untuk berkempen.
Projek Kilat
Turut kelihatan semasa pemantauan NIEI ialah beberapa projek kilat yang sedang dilaksanakankan. Projek ini istimewa dilakukan pada kempen tempoh pilihanraya yang boleh dilihat sebagai tujuan untuk memancing undi. Projek-projek ini rancak dikerjakan di beberapa kawasan sekitar Bagan Pinang. Antara yang ditemui oleh pemantau NIEI:
1.Projek membuat parit monsson di Kg Bagan Pinang.
2.Projek membersihkan parit yang sedia ada di Kg Bagan Pinang.
3.Projek penurapan jalan kampung di Kg Bagan Pinang.
4.Projek penurapan jalan kampung di Taman Bandar Sunggala.
5.Projek pembaikan jalan Lorong Batu 7, Kg Teluk Kemang.
6.Projek membaiki paip air di Taman Raja Zainal.
7.Projek membina arca di bulatan Teluk Kemang.
8.Dua projek membuat laman letak kereta di Jalan Pantai Port Dickson.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Seperti pilihanraya kecil sebelum ini, kehadiran sejumlah besar anggota PDRM menimbulkan banyak tanda tanya tentang peranan mereka..
Anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas serta memastikan jalan raya tidak terganggu sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Anggota polis trafik ditempatkan di setiap lampu isyarat dan simpang jalan bagi mengawal lalu lintas dari kesesakan terutamanya apabila hari penamaan calon serta pada hari mengundi.
Pada hari penamaan calon sebagai contohnya, polis trafik telah berjaya mengawal lalu lintas dengan baik. Sehingga hari mengundi, masih terdapat anggota trafik yang di tempatkan di setiap lampu isyarat dan simpang jalan. Selain itu, anggota trafik turut berada di jalan raya setiap kali adanya rapat umum dari kedua-dua belah parti yang bertanding bagi memastikan jalan raya tidak terganggu.
Selain anggota trafik, pihak polis dari cawangan pencegah rusuhan (FRU) dan risikan turut berada di sekitar DUN Bagan Pinang. Sewaktu hari penamaan calon tempoh hari sejumlah anggota FRU dan risikan dilihat mengawal keadaan penyokong dari kedua-dua belah parti.
Sekatan jalanraya pun amat berkurangan dalam tempuh kempen PRK DUN N31 ini. Hanya terdapat sekali sekala satu sekatan jalan raya di jalan masuk ke Port Dickson dari Seremban. Langsung tidak diketemui sekatan jalan raya di sepanjang tempuh kempen dalam zon DUN Bagan Pinang.
Ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan 8 PRK sebelum ini, terutamanya di Permatang Pauh dan Bukit Gantang, di mana terdapat banyak sekatan jalanraya di sepanjang masa tempuh kempen dan hari mengundi.
Sekatan-sekatan jalanraya itu terbukti menggangu pergerakan lalulintas dan sentiasa mengakibatkan kesesakan jalan. Manakala di Bagan Pinang, tanpa sekatan jalanraya, terbukti kesesakan lalulintas dapat dielakkan.
Kempen Publisiti Outdoor
Sepanjang tempoh berkempen, sepanjang jalan raya dipenuhi dengan alat kempen dari kedua-dua belah parti bertanding. Bendera, poster, banner, dan billboard telah memenuhi setiap ruang di pekan Port Dickson. Setiap alat kempen dilihat bertambah dari hari ke sehari dan menjelang hari mengundi jumlah alat berkempen boleh bertambah lebih banyak.
Alat kempen dari UMNO-BN lebih banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan Parti PAS-PR. Ini boleh dilihat di sepanjang jalan raya Teluk Kemang dimana bendera, poster dan billboard dari UMNO-BN memenuhi jalan raya. Di dalam kampung Bagan Pinang juga kelihatan poster dan billboard dari UMNO-BN.
Hanya 5 buah billboard dari parti PAS-PR didirikan sepanjang tempoh berkempen. Tidak seperti parti UMNO-BN, parti PAS-PR hanya menggantung bendera dan poster calon di sepanjang jalan raya dan di dalam kampung Bagan Pinang. Tetapi amat berkurangan dari UMNO-BN - dianggarkan 10% PAS-PR dan 90% UMNO-BN.
Billboard dari BN berjumlah 150 buah billboard yang didirikan di sepanjang jalan raya dan di dalam kampung Bagan Pinang. Poster Perdana Menteri, Menteri Besar dan Calon turut didirikan sepanjang tempoh berkempen. Jumlahnya tidak kurang seribu. Ini tidak termasuk banting-anting yang digantung di tiang-tiang elektrik.
Pastinya UMNO-BN mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit untuk membiayai kos kempen publisiti outdoor ini.
Sebelum itu beberapa billboard dari parti UMNO-BN telah diturunkan oleh pegawai dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) kerana mengandungi unsur provokatif. Turut diturunkan oleh pegawai SPR adalah bendera-bendera dari parti PR – PKR dan DAP.
Hari Mengundi (11 Oktober 2009)
Hujan renyai-renyai yang turun awal pagi ini tidak menghalang para pengundi di Bagan Pinang untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Sehingga jam 2.00 petang peratus pengundi 45 %, dianggarkan ramai yang tidak keluar mengundi. Keadaan di pusat-pusat pengundian walaupun terkawal, namun kehadiran kedua-dua puak tukang sorak parti yang bertanding menegangkan keadaan..
Contohnya, pihak polis yang ditugaskan di Sekolah Si Rusa untuk mengawal keadaan kadang-kala terpaksa bertindak untuk menyuraikan sesetengah penyokong dari bertindak di luar batasan. Ini terjadi kerana lokasi penyokong UMNO-BN dan lokasi penyokong PAS-PR diletakkan di tempat yang berhadapan antara satu sama lain. Begitu juga di Sekolah Panglima Adnan.
Di Sekolah Panglima Adnan, pemantau NIEI terserempak dengan konvoi motosikal pemuda MIC-BN yang berpakaian seragam dan membawa bendera-bendera. Ini nyata melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak polis.
Rata-rata di pusat mengundi pemantau NIEI bertemu dengan kenderaan-kenderaan mengangkut pengundi. Ini merupakan bentuk kempen merayu undi yang tidak sepatutnya berlaku pada hari mengundi.
Dalam satu insiden di Teluk Kemang pula berlaku insiden yang pada mulanya hanya insiden ejek-mengejek bertukar ganas apabila penyokong dari kedua-dua belah parti bergaduh antara satu sama lain. Menurut laporan media, pihak polis sudah menahan dua orang yang disyaki mencetuskan huru-hara. Keadaan tegang itu berjaya dikawal dengan bantuan orang ramai dan pihak polis.
Cadangan NIEI bagi memperbaiki perjalanan pilihanraya akan datang
Beberapa cadangan dari NIEI berikut ini boleh dapat menambah nilai wibawa sistem dan proses pengundian di Malaysia:
1.Kaedah dan prosedur undi pos hendak dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan dapat dipertanggungjawabkan.
Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, negera Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, undi secara normal digunakan untuk anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR - serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa – dibuka di dalam kem-kem tentera.
Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.
2.Politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan kemudahan awam hendaklah dihapuskan. Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.
3.Perbelanjaan calon dan parti bertanding hendaklah dipantau dan diperiksa oleh SPR dengan ketat. Dapat diandaikan bahawa perbelanjaan calon dan parti yang bertanding melampau had yang ditetapkan oleh SPR. Ini terutamanya perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Isa Samad dan parti UMNO-BN.
4.Seperti di negara-negara lain, hari pembuangan undi adalah hari yang aman damai dan tenteram bagi para pengundi membuat keputusan dan memangkah calon yang mereka pilih. Seharusnya perayu undi, kumpulan sorak parti dan kenderaan pengangkutan parti diharamkan pada hari membuang undi.
Jika kumpulan sorak tidak dapat dapat diharamkan pada kadar segera, keadaan tegang dapat dielakkan dari awal lagi jika penyokong kedua-dua belah parti tidak diletakkan secara berhadapan, sebaliknya diletakkan jauh antara satu sama lain. Contohnya satu puak 50 – 100 meter dari sebelah kanan masuk pusat mengundi dan satu puak lagi 50 -100 dari pintu masuk sebelah kiri.. Dengan cara ini penyokong parti tidak akan bersua muka lantas boleh mengelakkan dari tercetusnya keadaan yang tidak diingini.
Jika pengangkutan diperlukan oleh pengundi, ini wajib diberi khidmat oleh SPR, seperti khidmat kerusi roda SPR sekarang ini.
5.Sekatan jalanraya ketika tempuh berkempen mesti dihapuskan. Peranan polis trafik amatlah berfaedah dan mesti digalak dan diteruskan. Polis Pencegah Rusuhan bolehlah berada dalam keadaan berjaga-jaga.
6.Dakwat kekal (Indilible Ink). Jika dakwat digunapakai, tidak akan timbul syak wasangka seperti anggota tentera menggundi dua kali sebagai pengundi pos dan pengundi awam. NIEI mendesak agar dakwat kekal digunapakai di dalam pilihanraya akan datang agar integriti pilihanraya tidak lagi dipersoalkan.
Thursday, October 15, 2009
PRK Bagan Pinang: Kenyataan Akhbar
12 Oktober 2009
Kenyataan Media National Institute for Electoral Integrity (NIEI) berkenaan dengan pemantauan dalam PRK Bagan Pinang (N31)
National Institute for Electoral Integrity (NIEI) telah memantau perjalanan pilihanraya kecil (PRK) bagi kerusi DUN Bagan Pinang (N 31) bermula dari hari penamaan calon pada 3 Oktober sehinggalah berakhirnya proses pengundian pada 11 Oktober 2009.
Didalam pemantauan pilihanraya, terdapat dua kaedah yakni stationary monitoring (pemantau ditugaskan untuk tunggu disetiap tempat mengundi) dan mobile monitoring (pemantau bergerak).
NIEI menggunakan kaedah mobile monitoring dimana pemantau-pemantau NIEI bergerak untuk memantau perjalanan pilihanraya di dalam kawasan N 31 bermula dari proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.
Di dalam pemantauan NIEI di kerusi N 31, terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan PRK yang seharusnya telus, bebas dan adil.
Diantaranya ialah:
1)Ketidak telusan pengundian pos
Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.
Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta persara-persara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.
Yang lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihanraya tidak dipertahankan.
Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pengundian pos tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar kaedah dan prosedur pengundian pos hendaklah dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan diyakini oleh rakyat.
Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR - serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa – dibuka di dalam kem-kem tentera.
Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.
2)Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji
Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK N 31 Bagan Pinang. Pemberiaan projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa. Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan “rasuah politik” kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.
Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa. Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Manakala UMNO-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.
Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihanraya.
Untuk memastikan pilihanraya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan salahguna kemudahan awam hendaklah dihapuskan.
Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.
Untuk menghapuskan amalan ini, undang-undang anti rasuah politik dan penyalahgunaan harta awam hendaklah digubal seperti yang dilaksanakan di Thailand dan Taiwan.
3)Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi
Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi. Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
Selain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah.
Bagi memastikan pengundi-pengundi dapat berfikir dengan tenang sebelum masuk ke tempat pembuangan undi, NIEI menyarankan agar amalan merayu undi, tukang sorak dan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk mengangkut pengundi dihapuskan.
Sebagai ganti, tempoh berkempen bolehlah diperpanjang seperti dua minggu bagi pilihanraya kecil dan sebulan bagi pilihanraya umum. Parti-parti politik bukan kerajaan yang sering tidak mendapat tempat di media arus perdana aktif berkempen pada hari mengundi oleh kerana tidak mendapat liputan yang adil oleh media arus perdana dan tempoh berkempen yang singkat, jika tempoh berkempen diperpanjangkan, semua pihak akan mendapat masa yang cukup untuk berkempen.
Selain daripada itu, SPR bolehlah menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi seperti van, kereta dan motosikal sebagai alternatif kepada kenderaan-kenderaan yang disediakan oleh parti politik.
4)Perbelanjaan berkempen
Dalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon DUN.
Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon DUN RM100,000.
Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut. Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.
NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihanraya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang. Semua parti politik yang bertanding diseru agar bekerjasama bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan saksama. Pilihanraya yang berkredibiliti akan meyakinkan lagi rakyat dengan amalan demokrasi di Malaysia.
Amin Iskandar
Pengarah Ekskutif NIEI
Friday, October 2, 2009
Hasan Ali Pembohong?
Awal minggu ni, Teng Chang Kim Speaker DUN Selangor telah menuduh Hasan Ali pembohong.
Katanya Hasan Ali berbohong mengatakan bahawa si Teng telah mendakwa Bakhtiar Hussin pegawai Daerah Klang sebagai tidak cekap dan tidak layak.
Teng mendakwa Hassan Ali berbohong sekali lagi untuk menutup kenyataan pertamanya (Hassan Ali) yang mendesak bahawa SELCAT perlu dirombak. Tetapi kemudian menafikannya, sebenarnya kata dia (Hassan Ali)cuma mahu prosedurnya sahaja dikaji semula.
Sampai hujung minggu ini aku tunggu2.
Kalau orang tuduh diri kita ini pembohong, apatah lagi di kalangan awam dan dijadikan berita pula, kita perlulah membela diri dengan proses seperti berikut:
1. Menafikannya
2. Mendesak penuduh menarik tuduhan
3. Mendesak penuduh meminta maaf
4. Saman malu ke atas penuduh
Tetapi nampaknya sampai hujung minggu ini tak ada khabar2 angin pun tentang langkah2 seperti disenaraikan yang diambil oleh Hassan Ali, ataupun PAS Selangor.
Jadi kalau dibiarkan tanpa penafian, maka muktamadnya Hassan Ali Pesuruhjaya PAS Selangor sememangnya seorang kaki pembohong.
Thursday, October 1, 2009
Kambing Hitam V Navindran
Dari pengalaman aku ketika di dalam lokap polis, bukan seorang sahaja yang mendera. Mereka perlu kerjasama. Sekurang-kurangnya sorang, kalau tak berdua, memegang mangsa untuk dibantai oleh seorang lagi.
Tetapi dalam kes Kugan, hanya sorang yang didakwa. V Navindran!
Susah nak diterima akal:
Polis keturunan India ni sorang saja yang didakwa?
Kugan mati, tapi cajnya ialah mencedera dan bukan membunuh?
Tuesday, September 15, 2009
Cerita-Ceriti - Cepat dan Sedap:Kambing Goreng Gurilya
Kadangkala aku dijemput untuk menemani komrad Major Makmun. Biasanya apabila keadaan kota Beirut nak jadi tegang, dia akan hantar anak isterinya ke Damsyik, Syria. Dia tahulah akan hal2 ini, sebab dia ni pegawai tinggi perisik Al-Fatah.
Jadi aku pun diperintahlah oleh boss aku Major Yunus Awad untuk bersama Major Makmun ni. Maka aku ni jadi teman dan bodyguard yang tidak rasmi lah. Masa2 begini aku bersenjatakan pistol semi-automatik Llama buatan Sepanyol.
Takkan nak bawa AK-47 ke hulu ke hilir pulak. Apartment Makmun ni kat uptown Beirut,kawasan mewah. Di tingkat 15 mengadap pantai dan Lautan Mediteranian. Wah cantik sekali pemandangan! "Nikmatilah sebelum kita mati." gurau Makmun.
Kami selalu lepak kat pub, kafe house, restoran dan hotel. Semua pengusaha tempat2 tu ajen Makmun. Kita ke sana kononnya kutip maklumatlah. Tapi makan minum Makmun bayar, dia tak salah guna kedudukannya.
Pegi tempat2 macam itu, 'bersosial' takkan nak bawak AK-47. Sepetol aje le. Tapi yang cemasnya apabila hendak menghidupkan enjin kereta. Makmun mengguna kereta Fiat warna perang dan di parking kat basement.
Apabila sampai dekat kereta, Makmun akan berikan aku sekeping cermin. Dia ajar aku. Cermin tu lekatkan pada kasut. Lepas tu guna cermin tu tengok kat sekeliling bawah kereta. Tengok kot ada bom. Kalau malam disuluh dengan lampu suluh poket, cahayanya akan memantul ke bawah kereta, jadi nampaklah kat kawasan tu,Setiap kali nak guna kereta itulah kerja kami berdua.
Lepas tu, kami bergilir2 untuk menghidupkan enjin kereta dan menggerakkannya sekadar 2-3 meter. Ada bom diwatarkan pada sistem elektrik kereta, jadi apabila dihidupkan enjin, meletuplah dia. Ada bom yang dilekatkan pada tayar sebelah bawah kereta, kadang tak nampak dengan cermin. Jadi apabila berpusing roda, meletuplah dia.
Sorang lagi akan berdiri tempat perlindungan - belakang tiang ke, dinding ke, tembuk ke. Kalau2 ada bom yang meletup, sorang le aje yang mati, sorang lagi selamat.
Bila aje giliran aku, walau pun dah beratus kali mengalaminya, tetap sangat suspens beb.
Bila tak ada apa2, lega bernafas. Barulah meneruskan hidup secara normal ala Beirut.
Di dalam apartment pulak. Jika ada orang ketuk pintu, tugas aku bersedia dengan pistol. Pistol diload dengan peluru, pastikan ia tidak terkunci, penukul peluru ditarik keluar biar bersedia dengan pantas untuk menembak.
Makmun akan tanya sapa, kalau orang tu dia kenal dia akan buka pintu. Dia pun bersedia dengan pistolnya. Tapi tak pernahlah berlaku orang yang tak dikenalinya yang mengetuk pintu.
Tidur pun, pistol diletak bawah bantal.
Kadangkala malas nak keluar. Jadi masak sendiri aje lah. Selain dari telur dadar, kami goreng daging kambing dan makan dengan roti. Minyak zaitun dari gorengan itu pun dimakan sebagai kuah pencolek roti.
Untuk makluman minyak zaitun minyak 'baik' yang tidak minimbulkan masalah jantung. Malah ada kajian dari saintis sekeliling negara2 Mediteranian menyatakan bahawa minyak zaitun baik untuk menyekat diabetes dan sakit jantung. Wallah hu alam bissawab.
Balik kat sini. Daging kambing goreng ni bolehlah dimakan dengan nasi. Sedap pulak rasanya tu.
Cuba try lah resepi yang ringkas dan masakan yang mudah.
Bahan2:
½ kg daging kambing
7 sudu besar minyak zaitun
7 ulas bawang putih – diketuk pecah dan buang kulit sahaja tanpa dihiris
¾ sudu teh garam atau ikut rasa
1 sudu teh lada hitam
Kaedah:
1.Daging kambing tanpa tulang dipotong jadi ketul2 saiz lebih kurang satu inci kiub. Daging dari bahagian bahu sesuai kerana ianya lembut. Ini boleh diorder beli dari penjual daging kambing di pasar basah.
2.Lada hitam ditumbuk kasar, atau dikisar dari botol pengisarnya, dan digaul rata pada potongan2 daging kambing
3.Panaskan minyak zaitun di dalam kuali atau pan penggoreng bersama dengan garam
4.Campak bawang putih goreng sampai kekuning-kuningan
5.Nyalakan api kuat. Masukkan daging kambing. Digoreng tak sampai 3-4 minit aje. Petuanya daging itu ¾ masak sahaja. Jika lebih dari itu, daging akan jadi keras.
6.Saji ketika masih panas
Selamat bersahor.
Friday, September 11, 2009
Kenyataan Akhbar
9 September 2009
Kenyataan Media: Hentikan pencabulan terhadap kebebasan media
National Institute for Electoral Integrity (NIEI) mengutuk keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat 12 kakitangan akhbar web bebas Malaysiakini berhubung penerbitan video berkaitan perarakan membawa kepala lembu bagi membantah pemindahan kuil Hindu di Seskyen 23, Shah Alam hujung bulan lalu.
Pegawai MCMC telah hadir ke pejabat Malaysiakini bagi merakamkan kenyataan ketua pegawai eksekutif akhbar tersebut, editor, wartawan, juruvideo dan kakitangan teknikal akhbar web tersebut yang terlibat dalam proses pemberitaan, suntingan dan penerbitan dua berita video berhubung demonstrasi di Shah Alam pada 28 Ogos dan sidang akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada 2 September lalu.
Kesemua kakitangan yang disoalsiasat terlibat dalam proses pemberitaan, suntingan dan penerbitan dua berita dan video berhubung demonstrasi di Shah Alam pada 28 Ogos dan sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 2 September lalu.
Suruhanjaya itu turut mengambil keterangan syarikat pelayan web Malaysiakini di pejabatnya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur hari ini. Seorang lagi juruvideo, yang sedang bercuti akan diambil keterangannya Khamis ini. Sabtu lalu, Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan telah dipanggil untuk merakamkan kenyataannya berhubung dengan penerbitan dua video tersebut.
Tindakan MCMC ini adalah berniat jahat dan sekaligus bertentangan dengan prisinsip demokrasi dan kebebasan media yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dalam artikel 19 yang mengatakan “semua orang mempunyai hak untuk bebas mempunyai pandangan sendiri dan berekspressi; hak ini termasuklah kebebasan mempunyai pandangan tanpa perlu ada campurtangan dan untuk mencari, menerima dan menyebarkan maklumat dan idea melalui mana-mana media tanpa mengira sempadan”.
Bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia pada hari ini, NIEI mendesak agar kerajaan Malaysia dan MCMC agar menghormati kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat.
Di Malaysia, Televisyen, Radio dan akhbar dikekang hebat dengan menggunakan Akta Penebitan dan Mesin Cetak. Janganlah disempitkan lagi ruang rakyat untuk mendapatkan maklumat dengan menekan akhbar web.
Tindakan sebegini hanya membawa Malaysia kebelakang sekaligus bercanggah dengan gagasan 1Malaysia, “rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan” yang dipopularkan oleh perdana menteri. Jika rakyat diutamakan, hormatilah hak asasi rakyat untuk bebas mendapatkan maklumat dan informasi.
Amin Iskandar,
Pengarah Eksekutif
9 September 2009
Media Release: Harassing press freedom and right to information must stop!
National Institute for Electoral Integrity (NIEI) strongly condemns the move by the Malaysian Commission on Multimedia and Communication (MCMC) to investigate 12 staff from an independent online news website, Malaysiakini in relation to the video production of the cow-head protest against the proposed plan to build a new Hindu temple in Seksyen 23, Shah Alam on 28th August 2009.
On 8th August, eight MCMC officers arrived at Malaysiakini’s office in Bangsar Utama to record statements from Malaysiakini staff including chief executive officer, editors, journalists, video team members and one technical staff who were involved in documenting, editing and producing two videos in relation to the cow-head protest in front of Selangor State Secretariat building and Datuk Seri Hishamuddin Hussein, the Home Minister’s press conference on 2nd September.
The Commission is also reportedly having recorded statements from Malaysiakini’s server hosting company at its office on Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. One videographer who is currently on leave is said to be taken for questioning this Thursday. On last Saturday, Steven Gan, the Chief Editor has been called for questioning and his statement was taken in.
NIEI believes that the action by the MCMC is malafide in nature and contradicts with the principle of democracy and freedom of press enshrined in the Malaysian Constitution and Universal Declaration of Human Rights which stipulated in the Article 19 - Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers.
In conjunction with the Malaysian version of Human Rights Day today, NIEI demands that Malaysian government and MCMC to stop its action which clearly infringing human rights in Malaysia.
While other mainstream media such as television and radio stations and print media are vigorously put under the spell of Publication and Printing Act, we urged the Malaysian government to allow and respect individual rights to online information.
Lately, several uncalled moves by the Malaysian authorities in relation to media has tainted Prime Minister’s own mantra; “People First, Performance Now” and the 52nd anniversary of Malaysian Independence Day on 31st August. If thus Malaysians people are the priority, respecting the individual’s freedom and rights to information is a condition for nation building.
Amin Iskandar,
Executive Director